100 pelajar komunikasi City University jayakan Program Kepimpinan Masscomm

05 Aug 2019

100 pelajar komunikasi City University jayakan Program Kepimpinan Masscomm

05 Aug 2019
Pelajar jurusan komunikasi City University, Petaling Jaya bergambar selepas menjayakan Program Kepimpinan Masscomm.

 

City University Malaysia, Petaling Jaya, 27 July 2019 : -

Seramai 100 pelajar jurusan komunikasi di City University, Petaling Jaya dekat sini telah menjayakan ‘Program Kepimpinan Masscomm'

Program ini menggunakan konsep mentor mentee untuk mengeratkan hubungan di antara pelajar dan pensyarah.

Menurut City University, program adalah anjuran bersama pelajar jurusan komunikasi dan Kelab Masscomm Society-MCS.

“Konsep utama program mentor mentee adalah membangunkan sahsiah diri pelajar melalui amalan penyayang dan bekerjasama.

Program ini merupakan satu proses interaksi antara pensyarah dan pelajar yang melibatkan tindakan seperti membimbing, mengambil tahu, kebajikan, perihatin, menasihati dan mewujudkan semangat kekeluargaan yang kukuh, “ jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, menerusi program itu, pelajar-pelajar akan didampingi dengan lebih rapat oleh mentor mereka.

Tambahnya, setiap mentor diberikan kumpulan mentee tersendiri untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kekeluargaan seperti motivasi, pot luck, tea talk, ziarah dan sebagainya.

Majlis turut diraikan dengan kehadiran selebriti radio jemputan iaitu Keanu Azman daripada Hitz FM yang telah berkongsi pengalaman beliau dalam industri media serta mengenai cabaran dan halatuju selepas belajar.

“Perkongsian yang disampaikan sangat memberi kesan bermakna bagi pelajar-pelajar yang hadir dan ia akan menjadi penanda aras buat pelajar jurusan komunikasi dan media dalam mengaplikasikan ilmu yang diterima bukan sahaja untuk masa depan tetapi demi menjadi insan yang berguna di dalam masyarakat, “ jelas kenyataan itu lagi.